Monday, 22 December 2014

PRINSIP ASAS : Musyarakah

Assalamualaikum para pembaca yang dikasihi sekalian. Moga-moga semuanya sihat dan baik-baik sahaja di tempat masing-masing. Kami di bumi Jordan ini.. telah mula memasuki musim Syitaa iaitu musim sejuk pertama kami di sini. Alhamdulillah setakat ni masih mampu bertahan dengan segala jenis dugaan yang mendatang.

Baiklaahh..


Pada artikel yang sebelum ini, kita telah mengupas dengan mendalam mengenai kontrak mudharabah. Yang mana kita semua jelas bahawa Mudharabah bukanlah satu-satunya kontrak partisipasi atau (al-istihrak) yang telah diamalkan dalam dunia perbankan dan kewangan Islam, malah terdapat juga kontrak lain yang turut diamalkan, antaranya kontrak Musyarakah.

Pada post kali ini Insya Allah kami akan menghuraikan sedikit sebanyak mengenai kontrak Musyarakah dan akan mengaitkan dengan produk yang ditawarkan oleh  bank-bank Islam di Malaysia pada masa kini.

Apa itu Musyarakah ?

Maksud  ‘syarikah’ mengikut penggunaan umum bahasa Arab membawa erti menggabungkan dua perkongsian sebagai satu cara untuk membuatkan keduanya tidak boleh dibezakan. [1]

Namun pembaca sekalian, walaupun begitu definisi syarikah menurut bahasa,  

Jumhur ulama  tidak pun mensyaratkan ‘percampuran’ sebagai satu elemen yang membentuk definisi ‘syarikah’, sebaliknya memberi tumpuan tentang konsep kontrak yang mendasari sesuatu entiti perniagaan itu (Gulf Legal Services, 200 1 ). 

Maka secara istilahnya, definisi musyarakah telah diambil dari definisi Imam Hanafi  

‘suatu kontrak antara dua orang yang berkongsi modal dan untung.’ [2]

Mengapa definisi Imam Hanafi terpilih?


kerana definisi yang dikemukakan oleh Imam Hanafi kelihatan lebih menyeluruh. ia mengungkapkan syarikat sebagai suatu kontrak, maka dengan sendirinya ia mewujudkan konsep hak dan tanggungjawab yang mengikat. sedangkan definisi yang lain lebih menjurus kepada tujuan atau kesan kontrak itu sendiri. [3]


Musyarakah di Sisi Islam

Menurut para ulama Fiqh, hukum musyarakah adalah harus. Penthabitan hukum harus ini adalah berdasarkan kepada dalil AI-Quran, Sunnah dan Ijma’. Di dalam AI Quran, konsep ‘perkongsian’ dinyatakan dalam bentuk perkongsian  dalam pembahagian harta perwarisan.

Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 12 yang membawa erti “

“…Maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dari perempuan)…”

Manakala di dalam surah Sad ayat 24, Allah menerangkan tentang bagaimana rakan kongsi memperlakukan rakan-rakan kongsi yang lain, iaitu firman Allah,

 ‘‘ ... Sesungguhnya kebanyakan orang yang bergaul dan berhubungan (dalam pelbagai Iapangan hidup), sesetengahnya berlaku zalim kepada sesetengah yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal salih .. . ”

Di samping nas Al-Quran, terdapat sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, beliau mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan yang Allah s.w.t berfirman,


‘’ Aku (Allah) adalah orang ketiga bersama-sama dengan rakan kongsi, selama masing-masing tidak mengkhianati yang lain maka Aku meninggalkan mereka berdua. ”

Berdasarkan hadis ini, jelaslah Allah s.w.t telah berjanji bersama-sama menjaga dan memelihara pihak-pihak yang berkongsi itu selama mereka saling jujur dan amanah di dalam perkongsian mereka.

Berdasarkan nas-nas ini, maka ijma’ ulama sepakat mengharuskan kontrak syarikat memandangkan Allah sendiri telah berjanji untuk bersama-sama rakan kongsi yang jujur dan amanah serta berlandaskan hukum-hukum syariah dalam perniagaannya.

Apakah pula Jenis-jenis Musyarakah[4] ?

Kontrak Musyarakah merupakan satu kontrak yang sangat fleksibel untuk pelbagai jenis perkongsian. Kontrak musyarakah terbahagi kepada dua jenis dan terdapat beberapa pecahan kecil . Mungkin timbul persoalan di benak fikiran anda... kontrak jenis apakah yang syarikat/perniagaan anda sedang/akan jalankan?

Maka, penulisan kami akan diteruskan dengan  menunjukkan secara kasar jenis musyarakah, pecahannya dan definisinya.


a)Shirkah Al-Milk (Pemilikan Bersama)

Menurut pengertian umum,syarikat Amlak ialah dua orang atau lebih yang bersekutu atau berkongsi dalam sesuatu urusan tanpa lafaz akad syarikat. Syarikat jenis ini terbentuk disebabkan proses undang-undang atau syarak dan akhirnya secara tidak langsung wujudnya syarikat Amlak.


b)Shirkah Al-'Aqd (perkongsian kontrak)

shirkah Al-'Aqd terbahagi kepada empat pecahan kecil


  1. 'Inan
    
Syarikat Inan ialah syarikat perkongsian dua orang atau lebih yang mana  mereka  mempunyai hak “tasarruf” (hak melakukan transaksi) dalam pengumpulan sejumlah harta dalam cara pembahagian yang dimaklumi atau dalam bentuk saham yang ditentukan. untung dan rugi ditanggung bersama mengikut perjanjian. Secara ringkasnya,masing-masing berhak melakukan apa saja yang dapat memberikan kebaikan kepada syarikat


   2.Wujuh
    
Syarikat Wujuh adalah perkongsian diantara dua orang atau lebih dalam pembelian dan penjualan sesuatu barang menggunakan jawatan mereka. Keuntungan dan kerugian yang dialami adalah dibahagikan secara sama rata.Dalam keadaan biasa,syarikat ini terbentuk diantara orang biasa dan orang terkemuka,yang mana barang yang mereka jadikan modal perniagaan itu dibeli oleh orang terkemuka tersebut dengan cara hutang dan dengan menggunakan kedudukannya atau kepercayaan.


   3.’Abdan
    
Iaitu dua orang atau lebih yang bersepakat atau berkongsi untuk menjalankan sesuatu perusahaan dan perniagaan dengan menggunakan tenaga dan kepakaran masing-masing dan hasil keuntungan yang diperolehi dibahagikan diantara mereka.


   4. Mufawadoh  

     dua orang atau lebih berkongsi dalam sesuatu urusan dan sama banyak modal antara mereka, sama-sama berhak tasarruf dan juga antara mereka saling jamin-menjamin. ia juga hanya boleh dilaksanakan bilamana  syarat modal, pengurusan dan agama mereka adalah sama dan masing-masing saling bertanggungjawab. Keuntungan yang diperolehi adalah dibahagikan mengikut persetujuan bersama.





Apakah Produk-produk Musyarakah yang telah dihasilkan?

Kontrak musyarakah telah diaplikasi dalam pelbagai jenis produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam. Antaranya:

1.Pembiayaan rumah dan asset secara Musyarakah Mutanaqisah
2.Penerbitan bon Islam (sukuk)
3.Pembiayaan modal kerja (working capital financing)
4.Pembiayaan projek (project financing)

Yang Paling popular - Musyarakah Mutanaqisah

 Dalam penulisan ini kami hanya akan mengupas mengenai konsep musyarakah mutanaqisah oleh kerana konsep ini agak mudah untuk difahami dan kebanyakan institusi kewangan Islam telah mengaplikasikan konsep ini dalam menawarkan produk pembiayaan yang berlandaskan syariat Islam. Kebanyakan masyarakat di luar sana kurang jelas dengan konsep musyarakah mutanaqisah sehingga mereka mendakwa produk yang ditawarkan oleh bank Islam tiada beza dengan bank konvesional atau dengan lebih jelasnya tidak berlandaskan syariat Islam itu sendiri.



Mari kita sama sama melihat carta alir di bawah untuk memudahkan kita memahami Musyarakah Mutanaqisah






  1. Pelanggan membeli aset contohnya rumah yang bernilai 1 juta dan membayar duit muka sebanyak 10 ribu (10%) kepada pemaju
  2. Pelanggan memohon pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah daripada pihak bank lalu satu kontrak ditandatangani antara pihak bank dan pelanggan.
  3. Hasil daripada kontrak yang telah ditandatangani,bank akan membayar baki 90 ribu (90%) terus kepada pemaju. Dalam konsep ini bank tidak membeli asset tersebut sebaliknya hanya menyuntik duit kepada pelanggan.
  4. Bank yang mempunyai 90% milikan daripada aset dan pelanggan 10% milikan daripada aset memeterai kontrak sewaan di mana pelanggan menyewa aset dan membayar secara bulanan sepanjang tempoh yang telah dipersetujui kepada pihak bank
  5. Sepanjang tempoh yang telah dipersetujui,peratus milikan bank terhadap asset akan menurun dari semasa ke semasa manakala peratus milikan pelanggan akan meningkat dari semasa ke semasa.Sampai tempoh tamat perjanjian,pelaggan akan mendapat milikan penuh 100% terhadap aset tersebut.

Kesimpulannya, kesemua hukum yang diamalkan dalam perbankan islam yang sebenar adalah untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Islam dalam menjalankan kegiatan seharian dengan lebih mudah sekaligus dengan mematuhi syariat Islam yang sebenar.


Moga perkongsian kami ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada anda. dan jangan lupa mendoakan agar kami terus kuat untuk menimba ilmu di bumi anbiyaa ini, dan pulang untuk memberikan khidmat kepada masyarakat, seterusnya menyumbang dalam memajukan lagi negara Malaysia sebagai hub kewangan dan perbankan Islam yang utama.


[1] Ala’Eddin Kharofa, 1 997.
[2] Wahbah Zuhaili, 2000
[3] http://repo.uum.edu.my/386/1/Ahmad_Shamsul_Dato%27_Abd_Aziz.pdf
[4]Panduan Perbankan Islam,Dr. Zaharuddin Abd. Rahman,ms 98.
[5] Fiqh Muamalat dalam Sistem Kewangan Islam,ms 202.

1 comment: