Saturday, 20 September 2014

Bicara Pengarah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Segala puji bagi Allah atas nikmat kurnia-Nya blog Pemburu Hikmah ini dapat direalisasikan. Sebagai pendahuluan mengenai blog kami , BLOG ini merupakan medium sosial alam maya untuk kami kongsikan kepada anda mengenai Dunia Ekonomi dan Kewangan Islam.
Artikel atau pandangan mengenai hal-hal berkaitan , isu semasa atau hukum-hakam Dunia Ekonomi dan Kewangan Islam akan cuba untuk dikupaskan buat pemahaman semua. Blog ini dijayakan adalah sebagai medan perkongsian atau perbincangan kepada ummat Islam khususnya golongan muda untuk membuka kefahaman dan pengetahuan yang lebih jelas terhadap Ekonomi dan Kewangan mengikut perspektif Islam (syariah).

Saat Malaysia diangkat selaku peneraju Hab Kewangan Islam Antarabangsa , kita mampu melihat lambakan usaha serta langkah-langkah dalam memperkukuh daya tahan dan kelangsungan Kewangan Islam untuk terus bergerak ke hadapan dalam membayangi sistem kewangan konvensional sedia ada pada hari ini.

Hasil usaha tersebut , sistem kewangan Islam telah memperkenalkan pelbagai produk yang ditunjangi prinsip dan konsep Syariah serta perkhidmatan kewangan Islam yang lebih tersusun sebagai penawar dan jawapan kepada masalah ekonomi hari ini yang banyak ditunjangi sistem riba misalannya.
Maka melihat kepada situasi ini , perlu untuk kita terus mengkaji dengan lebih mendalam dan terperinci untuk terus memahami hakikat sebenar dan realiti Dunia Ekonomi dan Kewangan Islam demi kemaslahatan masyarakat dan sejagat pada masa akan datang, inshaAllah.
Di kesempatan ini kami juga turut ingin berkongsi pengalaman dan pengembaraan sepanjang keberadaan kami di negara Jordan yang mulia ini yang moga-moga keberkahan bumi Syams dapat dirasai bersama.
Akhir sekali , semoga melalui perkongsiaan ini akan memberi kefahaman dan menambah pahala amalan kita semua walau perkongsian yang dipersembahkan kepada anda tidak mampu mencapai darjat kesempurnaan ilmu yang sangat luas ruang lingkupnya , tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menjadi usaha kita semua untuk mencapai kesempurnaan tersebut.
Moga ia bermanfaat buat kita semua.

Pengarah Pemburu Hikmah

Imran Bin Nordin

1 comment:

  1. salam. harap dapat letak followers punya gadget supaya ana dapat follow. jzkk =)

    great effort!

    ReplyDelete